Asal Usul Nama Kampung Jepak, Bintulu

     Pada zaman dahulu dalam abad ke 18 terdapat sebuah sungai kecil yang mengalir dari sebuah bukit yang menghala ke Batang Bintulu (sekarang dikenali sebagai Batang Kemena).  Sungai kecil ini sering menjadi laluan jalan air  bagi penduduk kampung disitu untuk pergi ke kebun dikawasan kaki bukit untuk mendapatkan air bersih disamping mencari kayu api untuk digunakan bahan bakar dapur kayu (paghuk).

     Menurut cerita orang tua terdahulu sungai ini dikenali sebagai sungai “pepak” bahasa Vaie yang bermaksud “bercabang”  yang mana dikawasan tengah sungai ini yang bercabang dua. Sebelahnya menuju ke kawasan datar dibelakang perkampungan dan sebelah lagi menghulu naik ke kawasan bukit yang dahulunya mempunyai kawasan mata air yang digunakan sebagai telaga untuk mendapatkan air minuman bersih penduduk kampung. Terdapat juga kisah mistik yang mengatakan kawasan telaga air bersih ini dahulunya dihuni oleh orang bunian (makhluk halus). Terdapat  perkampungan bunian disini yang mana pada suatu ketika, peralatan pinggan mangkuk mereka boleh dipinjam untuk digunakan oleh penduduk kampung ketika kenduri kahwin dan sebagainya. Namun kesahihah cerita ini masih menjadi cerita rakyat turun- temurun.

     Disamping itu terdapat juga kisah misteri serangga lipan besar yang menghantui penduduk asal disitu.  Dikatakan saiz serangga lipan tersebut adalah sebesar sebuah perahu dan sering menggangu penduduk kampung terutamanya pada waktu malam. Apabila malam menjelma para penduduk kampong akan bersembunyi didalam rumah masing-masing kerana khuatir diserang oleh lipan misteri itu tadi. Ianya dikatakan muncul dari sebuah lubang yang terletak diatas bukit tersebut yang dikelilingi oleh hutan belantara. Sejauh mana kebenaran cerita ini, masih menjadi tanda tanya para pengkaji sejarah di Bintulu dan menjadi satu cerita rakyat (tenghanik) masyarakat Vaie disini.

      Berbalik kepada asal usul nama Kampung Jepak dan Bukit Jepak, semua dikatakan berasal dari nama sebuah sungai yang bercabang itu tadi iaitu Sungai Pepak. Sebutan pepak ini telah berubah dari tahun ke tahun sehinggalah menjadi “Jepak” seperti mana sekarang. Namun kini sungai itu telah pun menjadi kecil dan hampir tidak kelihatan lagi.

       Bukitjepakketikadahulu

                                                                             ( Gambar yang diambil dari atas bukit Jepak pada ketika dahulu )

(Sumber Dari : Badan Warisan Sejarah Dan Kebudayaan Vaie Bintulu @BAWARIS)